Sunday, 27 March 2011

Berbahagialah menjadi MUSLIMAH.........



Assalamualaikum...

Ada kaum wanita berkata,,, “susah menjadi wanita ISLAM”. Lihat saja peraturan dibawah ini:

1. Wanita auratnya lebih susah dijaga jika dibandingkan dengan lelaki.

2. Wanita perlu meminta izin dari suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya.

3. Wanita saksinya kurang dibandingkan dengan lelaki.

4. Wanita menerima pusaka atau warisan kurang dari lelaki.

5. Wanita harus menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak.

6. Wanita wajib taat kepada suaminya tetapi suami tak perlu taat pada isterinya.

7. Talak ada di tangan suami dan bukan isteri.

8. Wanita kurang beribadah kerana masalah haid dan nifas yang tidak dialami lelaki.

TETAPI PERNAHKAH KITA BERFIKIR SEBALIKNYA…??

Aurat serta perhiasan wanita adalah suatu yang sangat mahal dan berharga…
makanya..

Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang teraman dan terbaik. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiarkan terserak, bukan? Itulah bandingannya antara seorang muslimah dgn pompuan jalanan.

Satu:
Wanita perlu taat kepada suami, tetapi lelaki pun wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapaknya. Bukankah ibu adalah seorang wanita?

Dua:
Wanita menerima pusaka atau warisan kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya.
Manakala lelaki menerima pusaka atau warisan, ia akan menggunakan hartanya untuk isteri dan anak-anaknya.

Tiga:
Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala makhluk, malaikat, dan seluruh makhluk Allah di muka bumi ini, dan matinya jika saat melahirkan adalah syahid.

Empat:
Di akhirat kelak, seorang lelaki akan mempertanggungjawabkan 4 wanita ini:
Isterinya, ibunya, anak perempuannya, dan saudara perempuannya.

Lima:
Seorang wanita pula, tanggung jawab terhadapnya ditanggung oleh 4 orang lelaki ini:
Suaminya, ayahnya, anak lelakinya dan saudara, lelakinya.

Enam:
Seorang wanita boleh memasuki pintu syurga melalui pintu manapun yang disukainya cukup dengan 4 syarat saja :
Solat 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, taat pada suaminya dan menjaga kehormatannya.

Tujuh:
Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat pada suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH, ia akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

MasyaAllah…

demikian sayangnya Allah pada wanita, kan?

Bagaimana……?

Masih merasa tidak adil?

masih tak nak jaga aurat??

Berbahagialah menjadi seorang Muslimah Duhai Sahabat .. !!! ..

Sunday, 20 March 2011

Bebaskan Diri Dengan Syariat..........

Bebaskan diri dengan syariat (baca betul-betul), bukan "dari syariat" . Menjadi hamba Allah dengan erti kata sebenar... itulah hakikat kemerdekaan diri kita. Dan untuk cuba menjelaskannya, mari kita ikuti tulisan ini...
Seorang isteri memberitahu dia terpaksa menipu suaminya setiap kali ingin balik kampung menziarahi orang tuanya. Menurutnya dia terpaksa berbuat demikian kerana suaminya tidak berapa suka dia menemui kedua ibu-bapanya. Jadi, tidak ada jalan lain baginya selain 'curi-curi' balik di belakang suami. Alasan yang sering diberikan, kerja banyak di pejabat atau sekali-sekala terpaksa 'out station'.
Cerita di atas saya dengar dari mulut seorang sahabat. Dan dia mendengar luahan isteri itu menerusi radio dari sebuah stesyen yang diminati ramai. Saya tanyakan padanya, bagaimana respon orang ramai yang mendengar? Beliau menjawab, "hampir semua menyokong. Malah memberi galakan untuk dia terus berbuat demikian."
Saya diam. Sekali imbas, memang patut siisteri berbuat demikian. Tetapi kemudiannya, saya terfikir... logik kita tidak semestinya sama dengan syariat Allah. Seringkali apa yang kita fikirkan patut, tidak patut pada pandangan Allah.
Apabila dirujuk kepada syariat, apapun alasan dan hujahnya, dia tidak boleh berbuat demikian. Walaupun tegahan suami patut atau tidak patut, ada alasan atau semata-mata emosi, tetapi itu bukan alasan untuk siisteri mengengkari suaminya. Isteri yang solehah akan mematuhi suaminya walaupun dengan kepatuhan itu dia terpaksa membelakangkan ibu-bapanya. Walaupun kepatuhan itu tidak menutup pintu perundingan, namun apabila suami membuat sesuatu keputusan maka isteri wajib mematuhinya.
Moral kisah di atas ialah dalam apa juga keadaan, seorang Islam tidak boleh memandai-mandai dalam membuat keputusan. Baik kita sebagai isteri, suami , pemimpin ataupun rakyat, wajib merujuk kepada syariat dalam setiap perlakuan, keputusan dan pertimbangan. Percayalah pada setiap sekecil-kecil perkara hingga kepada sebesar-besarnya, hukum syariat yang lima – wajib (halal), haram, sunat, makruh dan harus sentiasa memantau kita.
Apakah sekecil-kecil perkara yang boleh dijadikan contoh? Katalah menguap. Itu satu contoh yang sangat kecil, Bagi sesetengah orang menguap hanyalah soal remeh. Tetapi sebenarnya tidak begitu. Menguap itupun tertakluk pada lima hukum. Menguap boleh jadi wajib, boleh jadi haram, sunat, makruh atau harus. Bagaimana ya?
• Menguap jadi wajib sekiranya dengan tidak menguap boleh memudaratkan tuan punya badan. Katalah kita terlalu mengantuk... menguap adalah tindakan biologi seseorang yang mengantuk. Tetapi oleh kerana kita malu (di khalayak ramai atau di majlis-majlis tententu), kita menahan diri untuk menguap sehingga ke tahap yang boleh memudaratkan (jatuh pengsan atau sakit kepala). Maka ketika itu wajib kita menguap. Wajib ertinya, perlu menguap dan diberi pahala. Sekiranya tidak menguap jatuh dosa.
• Menguap jatuh haram sekiranya kita pura-pura menguap untuk menyakitkan hati orang lain. Katalah semasa mendengar satu ceramah, kita bosan dan benci pada penceramahnya. Lalu kita pura-pura menguap untuk 'memberitahu' penceramah kita benci atau bosan. Menguap ketika itu menjadi isyarat untuk 'menghalau' atau menyuruh sipencermah sakit hati dan berhenti. Pada waktu itu menguap jatuh haram. Dibuat berdosa, ditinggalkan berpahala.
• Menguap hukumnya sunat jika dilakukan mengikut sunnah Rasulullah, yakni dengan menutup mulut dan membaca taawwuz . Kerika itu berdoa kelihatan sopan dan tertib sekali. Bukan sahaja indah dipandang mata manusia, tetapi disukai oleh Allah. Dengan menguap seperti itu, hukumnya sunat. Sangat digalakkan dan diberi pahala.
• Menguap hukumnya harus dalam mana-mana posisi tubuh. Harus menguap dalam keadan berdiri, duduk atau berbaring. Tidak semestinya menguap mesti dalam keadaan duduk. Ertinya, boleh menguap dengan 'gaya bebas'. Harus hukumnya.
• Bila menguap jatuh makruh? Perbuatan makruh, walaupun tidak haram, tetapi ntidak disukai Allah dan hodoh pada pandangan manusia. Menguap jatuh makruh sekiranya dilakukan tanpa sopan misalnya membuka mulut lebar-lebar tanpa menutupnya. Hingga dengan itu kelihatan begitu buruk dan cela dipandang orang. Allah tidak suka cara menguap begitu. Kebencian Allah ke atas perkara-perkara makruh, walaupun tidak berdosa tetapi elok sangat ditinggalkan. Malah, jika ditinggalkan berpahala pula.
Ya, tujuan saya bukan untuk menjelaskan prinsip dan soal-soal kaedah menguap sebenarnya. Tetapi apa yang ingin saya paparkan, sekiranya dalam soal sekecil-kecil seperti menguap itupun ada lima hukum yang menyuluh, tegasnya da kemungkinan mendapat pahala dan dosa, redha atau murka Allah... apalagi dalam soal-soal yang lebih besar seperti soal makan-minum, berpakaian, mengatur famili, mengatur sistem kewangan dan ekonomi, pendidikan, budaya, hiburan hinggalah kepada urusan pentadbiran dan pemerintahan negara.
Anehnya, ramai manusia termasuk orang Islam masakini seolah-olah ingin lepas bebas daripada syariat. Apa yang difikir, dipertimbangkan dan diputuskannya tidak langsung dikaitkan dengan syariat. Semuanya berasaskan logik akal dan dorongan emosi. Pada pendapat saya, pada hemat aku.... Begitulah yang kerap kita dengar. Bila diperingatkan hidup mesti berpandukan syariat, tidak kurang yang merasakan itu seolah-olah mengikat. Tidak merdeka. Ketinggalan zaman. Terlalu ideal. Begitu sesetengah pihak membuat tanggapan.
Bebas daripada syariat, bererti bebas dariapada Allah. Dan bebas daripada Allah bererti terikat dengan hawa nafsu. Hawa nafsu akan membawa kepada kemusnahan diri dan orang lain. Bebas tapi terbabas. Kembali kepada cerita isteri dan suami di awal tulisan ini... jika suami merujuk kepada syariat, dia tidak akan 'sekejam' itu. Bukankah syariat menetapkan ibu dan bapa mertua berkedudukan sama seperti ibu dan bapa kita kita sendiri? Seorang suami perlu mentaati, mengasihi bahkan menyayangi ibu dan bapa mertuanya dengan sepenuh hati. Berpandukan syariat sisuami tidak akan menjadi pemisah kasih-sayang anak (isterinya) dengan bapa dan ibunya (ibu dan bapa mertuanya).
Berpandukan syariat juga, seorang isteri tidak boleh 'mencuri-curi' menziarahi ibu-bapanya kerana membuat sesuatu tanpa izin suami (dalam konteks ini keluar rumah) adalah haram hukumnya. Walaupun hati sangat ingin, tetapi kawallah keinginan itu kerana Allah demi mematuhi suami. Ingatlah, ketika itu siisteri bukan mematuhi suami secara membuta tuli, tetapi hakikatnya mematuhi Allah. Ingatlah, kepatuhan kita kepada suami akan menjadikan kita isteri yang solehah, dan isteri yang solehah akan dapat menyelamatkan kedua ibu-bapanya kerana itu merupakan 'amal jariah' yang berterusan pahalanya untuk kedua ibu-bapa kita.
Pemikiran berasaskan Tauhid (Tauhidic Mindset) perlu ada pada setiap kita. Bila pemikiran Tauhid ini kukuh secara otomatik kita akan merujuk kepada syariat dalam apa jua kelakuan dan tindakan. Bila kita yakin Allah Maha Bijaksana, tergamakkah kita mendahului 'kebijaksanan' kita dengan membelakangkan kebijksanan-Nya? Bahkan kita akan sentiasa memastikan kebijaksaan kita yang kecil dan kerdil ini tunduk kepada kebijaksanaan-Nya yang tiada bandingan dan tandingan itu. Hati akan sentiasa terdetik, apa 'kata' Allah dalam setiap situasi dan kondisi yang sedang kita hadapi.
Seorang sahabat, pernah menghadiahkan saya sebuah buku 'Halal Dan Haram Dalam Islam' karangan Dr. Yusuf Qaradhawi – dan saya merasa buku yang sarat ayat Quran dan hadis itu sangat berguna sebagai teman rapat dalam kehidupan. Menurut ulama, iman itu bukan sekadar kepercayaan dan keyakinan, tetapi tindakan dan kepatuhan. Sungguhpun kekadang kita belum nampak 'hikmah' dan kebaikan di sebalik hukum syariat – dan ketika itu hati kita bertanya, kenapa begitu, tidak begini?
Yakinlah, bahawa saat itu sebenarnya akal kita 'tidak sampai' buat menjangkau kejituan dan kemurnian syariat. Bukan syariat itu tidak indah, tetapi akal dan hati kita yang rabun atau buta... seperti kelelawar yang tidak dapat melihat pada waktu siang. Bukan siang yang tidak cerah, tetapi mata kelawar yang tidak mampu menatapnya! Jadi setiap kali terasa begitu katakan pada diri, "ya allah, aku tidak nampak lagi di mana hikmah-Mu menetapkan demikian. Ilmuku yang terbatas tidak mampu menjangkau ilmu-Mu yang Maha Luas. Tetapi aku tetap yakin... Engkau Maha Benar yang Allah. Syariat-Mu tetap benar, betul dan baik." Ingat selalu, terikat dengan syariat itulah kemerdekaan yang sebenarnya!

Hak sesama muslim..........


حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا
 دَعَاكَ فَأَجِبْهُ وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللهَ فَسَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ
 وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ

Hak muslim ke atas muslim yang lain ada enam. Dikatakan, "Apa yang enam itu, Ya Rasulallah?" Rasul SAW bersabda, "Apabila engkau bertemu dengan saudara muslim yang lain, maka ucapkanlah salam kepadanya; Apabila ia mengundangmu, maka penuhilah undangannya; Apabila ia meminta nasihat kepadamu, maka berikanlah nasihat kepadanya; Apabila ia bersin dan mengucapkan al hamdu lillah, maka ucapkanlah yarhamukallah; Apabila ia sakit maka ziarahlah; Apabila ia meninggal dunia, maka hantarkanlah sampai ke kuburnya.

(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah)


Saturday, 19 March 2011

Jadilah Kunci Kebaikan..........


“Sesungguhnya di kalangan manusia ada yang menjadi kunci-kunci pembuka kebaikan dan penutup keburukan. Dan di kalangan manusia ada pula yang menjadi kunci-kunci pembuka keburukan dan penutup kebaikan. Maka beruntunglah orang yang Allah jadikan kunci-kunci kebaikan di tangannya dan celakalah bagi orang-orang yang Allah jadikan kunci-kunci keburukan di tangannya”.[ Ibnu Majah, Dari Anas R.a dihasankan oleh Al-albani]
Jadilah pemegang kunci kebaikan kerana ia akan mendapat keredaan Allah dan balasan syurga. Jadilah hamba Allah yang soleh dengan menunaikan kewajipan dan menghindari kemungkaran serta mengajak orang lain juga menjadi sepertinya. Golongan ini sentiasa mempromosi kebaikan dan perkara yang diredai oleh Allah SWT. Orang ramai akan mencarinya bila mempunyai sesuatu keperluan berupa kebajikan malah dia bersedia untuk membantu orang lain dengan senang hati tanpa upah dan ganjaran.Memadailah ganjaran di sisi Allah di akhirat kelak.
Jangan jadi golongan yang kedua iaitu pemegang kunci keburukan. Golongan ini melakukan kejahatan malah turut mendorong orang lain untuk melakukannya. dia mempromosi perbuatan maksiat dan dosa. Dia mendapat dosa malah turut memikul dosa orang yang mengikutinya. Sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud :
“Sesiapa yang memulakan satu sunnah yang baik di dalam Islam dia akan memperolehi ganjarannya dan ganjaran orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun ganjaran mereka. Dan sesiapa yang memulakan satu sunnah yang buruk di dalam Islam dia akan menanggung dosanya dan dosa orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun dosa-dosa mereka.( Imam Muslim )
Hindarilah diri dari menjadi pemegang kunci kejahatan ini kerana dosa yang bertimbun-timbun terpaksa dipikul akibat menjadi ikutan oleh orang lain. Era IT yang serba canggih pada masa kini ramai benar pemegang kunci keburukan boleh dilihat di laman blog-blog dan laman sosial. Terdapat individu muslim yang menjadikan blog peribadi mereka sebagai sumber dosa dan maksiat. Dia meletakkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat, separuh bogel, promosi filem dan video lucah, cerita-cerita berunsurkan fitnah dan gosip yang tidak berasas malah turut mempromosikan artis-artis kafir dan musyrik serta memujanya secara melampau-lampau. Bukan sedikit pengunjung blognya. Entah berapa ‘bukit’ dosa yang terpaksa dia pikul akibat memegang kunci kejahatan itu.
Namun Alhamdulillah tidak kurang juga mereka yang ‘celik hati dan akhirat’ memilih untuk memegang kunci kebaikan. Mereka berkongsi ilmu agama dan ilmu keduniaan yang bermanfaat yang boleh dikongsi oleh orang lain. Sungguh beruntung mereka ini. Mereka mendapat pahala dengan sebab orang lain mengambil faedah dari blog-blog mereka. golongan ini akan terus mendapat pahala selagi ilmunya dimanfaatkan walaupun telah meninggal dunia sebagaimana maksud hadis nabi saw. Semoga Allah merahmati dan membimbing kita agar menjadi pemegang kunci kebaikan dan menjauhkan kita dari menjadi pemegang kunci keburukan. Mudah-mudahan Allah membimbing kita ke jalan yang diredaiNya.
Hendaklah kita mengajar kebaikan kepada orang lain.
Dengan  pengajaran yang dilakukan akan memberi kesempatan kepada ramai  orang lain untuk menerima dan menimba kebaikan.
Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyerukepada kebaikan."
"Barang siapa yang menunjukkan (seseorang) kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya." - (Hadis Riwayat Muslim).
Senantiasa mempelajari dan mengkaji kebaikan
Seseorang yang mempelajari dan mengkaji ilmulayak disebut sebagai kunci pembuka kebaikan. Dengan belajar maka pada akhirnya ia akan terdorong untuk mengajarkan kebaikan yang dipelajarinya.
"Sebaik-baik orang dikalangan kamu adalah orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya kepada orang lain" – HR Bukhari .
Dengan belajar, seseorang akan menghidupkan kembali ilmu gurunya yang mungkin hampir mati.
Sentiasa mengamalkan kebaikan
Seseorang yang mengerjakan kebaikan akan dianggap kunci pembuka kebaikan kerana dengan mengamal kebaikan bererti ia memberikan contoh dan teladan kepada orang lain agar ikut mengerjakan kebaikan juga. Mengajar dengan contoh teladan lebih berkesan daripada mengajar dengan lisan.
Abu Darda' berkata: "Tidaklah kamu dianggap sebagai orang alim sehingga kamumengamalkan ilmumu".
Sentiasa mendukung proses belajar dan mengajar pelbagai bidang kebaikan.
Sekiranya seseorang tiada kesempatan untuk belajar dan tidak mampu mengajar maka hendaklah ia menjadi orang yang memberi kemudahan kepada orang-orang yang mengajar dan belajar untuk melakukan kebaikan.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan ketaqwaan." (Al Maidah ayat 2)
Memberikan bantuan atau kemudahan kepada sesiapapun yang hendak mengamalkan kebaikan.
"Barangsiapa yang menyiapkan perbekalanuntuk orang yang berperang di jalan Allah maka ia akan mendapatkan pahala orang yang berperang." (Muttafaqun 'alaih).
Menjadi penggembira dan memperlihatkan sikap bersahabat kepada penyeru kebaikan.
Seorang yang hadir dalam sebuah majlis kebaikan, meskipun hanya ikut-ikutan dan tidak serius melakukannya, juga layak dianggap sebagai kunci pembuka kebaikan sehingga layak mendapat keampunan dan rahmat Allah.
Dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman:
"Saksikanlah olehmu bahawa Aku telah mengampuni mereka semuanya," Malaikat berkata: "Diantara mereka ada si fulan, ia bukan sebahagian daripada mereka, kerana sebenarnya ia datang untuk suatu keperluan." Allah berfirman:"Sesungguhnya Aku juga telah mengampuninya. Kerana mereka adalah suatu kaum yang barangsiapa duduk bersama mereka, maka tidak akan mengalami kesengsaraan." (HR Muslim).

Hanya Dengan Ilmu.........


"Sesiapa yang inginkan dunia maka hendaklah dia berilmu, sesiapa yang inginkan akhirat maka dia juga mesti berilmu dan sesiapa yang ingin kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat maka dia lebih dituntut agar berilmu."
Hadis Rasulullah SAW yang perlu dijadikan dorongan dalam mempertingkatkan ilmu dalam diri. Sejauh mana kepentingan ilmu itu dalam membentuk keperibadian muslim sejati? Tanpa ilmu kita diibaratkan seperti kapal tanpa nakhoda, fizikal dan emosi akan bertindak mengikut ketidaklogikan akal, segala tindak- tanduk yang dilakukan juga tidak berasaskan ilmu. Ironinya, segala kerja yang dilakukan hanya mementingkan tuntutan duniawi tetapi tidak ukhrawi.

Saidina Ali bin Abi Talib RA berkata, "Ilmu lebih baik dari harta, harta jika dibelanjakan akan berkurang, tetapi ilmu jika disebarkan akan bertambah."
Hanya dengan ilmu, sifat takbur, ego, riak dan mementingkan diri dapat dileraikan. Hanya dengan ilmu, kasih sayang sesama mukmin akan bertaut, ukhwah terjalin, silaturrahim  bercambah. Hanya dengan ilmu, kekuatan jihad dapat diperkukuhkan. Hanya dengan ilmu, ketidakstabilan kerohanian tidak akan berlaku. Hanya dengan ilmu, kasih sayang semata-mata kerana Allah akan menjadi seluas-luasnya. Hanya dengan ilmu, keikhlasan akan bertapak dalam jiwa. Hanya dengan ilmu juga, perpecahan dan perbalahan sesama muslim tidak akan berlaku.
Ketahuilah sesungguhnya, ilmu itu akan menjadi benteng dan pendinding diri dalam peperangan menentang syaitan dan nafsu. Ilmu itu juga akan dapat meningkatkan darjat hamba-Nya pada pandangan-Nya. Namanya dimuliakan sama ada oleh penduduk dunia dan paling istimewa sekali apabila namanya sangat popular dalam kalangan penduduk langit.
"Demikian tingginya darjat orang yang menuntut ilmu sehingga para malaikat bersikap hormat terhadap orang yang menuntut ilmu. (Riwayat Abu Daud)
Jadi, marilah kita sama-sama melapangkan masa untuk menuntut ilmu. Semoga Allah memberi keberkatan kepada masa yang kita ada. Kesibukan itu adalah ujian dari Allah. Semoga kita sentiasa berada dalam naungan rahmat-Nya yang Maha Luas. Gunakan semaksimum masa yang ada untuk sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada diri dan orang lain.
"Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui."Surah Az-Zumar, ayat 9.
Taddabur ayat di atas dan semoga kita mengambil pengajaran bahawa pentingnya ilmu Allah itu dalam diri seseorang hamba dalam kehidupan era milenium yang sangat mencabar ini. Hanya dengan ilmu dapat membatasi dan menjadi pendinding diri supaya tidak terus- menerus melakukan kemaksiatan yang membawa kepada matinya hati. Semoga Allah terus melindungi dan menaungi rahmat-Nya ke atas kita.